PANAS

Apakah itu Vaksinasi Dan Imunisasi? – Bahagian 1

Sistem imun badan merupakan suatu sistem yang kompleks. Sistem ini bukan sahaja wujud dalam badan manusia, malah turut wujud dalam badan benda hidup yang lain. Komponen sistem imun terbahagi kepada dua iaitu sistem imun tidak spesifik dan sistem imun spesifik.

  • Sistem imun tidak spesifik seperti lapisan pelindungan fizikal (contoh: lapisan lendir dalam salur pernafasan), lapisan pelindung sel dan sistem peradangan kulit.
  • Sistem imun spesifik seperti sel darah putih, antibodi, Sel T(T-cell) dan Limfosit B (B-lymphocyte).

 

Differences-Between-Antigen-and-Antibody

Kewujudan sistem ini penting untuk menghapuskan antigen dalam badan kita. Antigen ialah sebarang bahan yang boleh mencetuskan tindak balas imun dalam badan. Contoh-contoh antigen ialah kuman, virus malah benda asing seperti debu, toksin haiwan dan sebagainya.

Terdapat sesetengah penyakit di mana sel dalam badan sendiri menjadi antigen terhadap sistem imun. Kumpulan penyakit ini dinamakan sebagai penyakit auto imun.

 

Vaccine_Immunity (1)

Imunisasi ialah suatu proses pembinaan daya tahan badan terhadap jangkitan penyakit. Ada dua jenis imunisasi iaitu:

  • Imunisasi aktif – proses imunisasi yang berlaku apabila sesuatu antigen masuk ke dalam badan, sama ada disengajakan atau tidak disengajakan. Elemen pertahanan badan (contoh: antibodi) dihasilkan sendiri oleh tubuh badan, hasil rangsangan antigen yang masuk ke dalam badan.
  • Imunisasi pasif – proses imunisasi apabila elemen pertahanan badan (contoh: antibodi) tidak dihasilkan sendiri oleh badan, sebaliknya dibawa masuk ke dalam badan. Contohnya, antibodi dari ibu dipindahkan kepada bayi dalam kandungan untuk melindungi bayi daripada sebarang jangkitan.

 

agp

Vaksinasi pula merupakan proses memasukkan bahan yang boleh merangsang imunisasi untuk membolehkan badan menghasilkan elemen daya tahan terhadap jangkitan. Terdapat pelbagai jenis vaksin seperti vaksin 3 serangkai MMR (measles, mumps, rubella), vaksin 5 serangkai DTap-IPV-Hib (diphteria, tetanus, whooping cough, polio & haemophilus influenza type B), vaksin hepatitis B, vaksin BCG (Bacillus Calmette-Guérin) dan vaksin HPV (human papilloma virus).

Vaksinasi merupakan proses imunisasi aktif yang disengajakan.

 

presentation1 (1)

Ringkasan Sejarah Vaksinasi

Proses perkembangan vaksin berevolusi seiring dengan perkembangan pengetahuan manusia. Pada zaman Dinasti Ming di China sekitar abad ke 16, para tabib telah menggunakan teknik inokulasi untuk mencegah penyakit cacar. Teknik inokulasi melibatkan pengambilan cecair dari bahagian badan pesakit yang terkena cacar.

Cecair itu kemudian disapu pada badan individu yang sihat, supaya badan individu yang sihat tersebut membina kekebalan terhadap serangan cacar.

Teknik yang sama digunakan oleh kerajaan Turki semasa pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah. Teknik tersebut disaksikan oleh Lady Montagu, isteri kepada Duta British yang bertugas di Istanbul sekitar tahun 1716 hingga 1718. Lady Montagu kemudian meminta doktor peribadi beliau untuk menjalankan prosedur yang sama terhadap anak perempuan beliau.

Keberkesanan Vaksin & Kekebalan Kelompok

Flu-Myths-vs-Facts-GSK

Vaksin yang disuntik ke dalam tubuh manusia, tidak semestinya berkesan mencegah penyakit. Keberkesanan sesuatu vaksin bergantung kepada banyak perkara seperti cara penyimpanan vaksin & sistem imun orang yang divaksin itu sendiri.

Oleh demikian, proses vaksinasi penting untuk disertai oleh semua individu untuk mewujudkan suatu keadaan yang digelar sebagai kekebalan kelompok.

Kekebalan kelompok ialah keadaan di mana kelompok individu yang kebal terhadap sesuatu penyakit, melindungi individu yang lemah daya tahan terhadap penyakit tersebut. Individu kebal tidak akan dijangkiti oleh penyakit, dan seterusnya menghalang penyakit itu daripada menjangkiti individu yang lemah daya tahan penyakit.

 

Sambungan Artikel : “Imunisasi Dan Vaksinasi Bahagian 2

The post Apakah itu Vaksinasi Dan Imunisasi? – Bahagian 1 appeared first on LelakiSihat.Com - Tips & Info Kesihatan Lelaki.

About Admin

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close