PANAS

Mengapa Tekanan Darah Darah Isteri Anda Tinggi Ketika Hamil?

Pra-eklampsia adalah keadaan yang disebabkan oleh kehamilan, dan ianya berlaku pada trimester kedua kehamilan lazimnya selepas 20 minggu kehamilan.
Pra-eklampsia berkaitan dengan tekanan darah yang tinggi, bengkak yang berlaku secara tiba-tiba dan kenaikan berat badan yang mendadak disebabkan pengumpulan air dalam tubuh, dan kehadiran protein dalam air kencing.
Punca sebenar terjadinya pra-eklampsia masih lagi tidak diketahui.

Bagaimana Pra-eklampsia Memberikan Kesan Buruk Kepada Bayi?
pregnant-woman-preeclampsia
Apa yang terjadi dalam pra-eklampsia ialah terdapat pengurangan aliran darah ke uri sekaligus membahayakan bayi dalam kandungan isteri anda.
Tumbesaran bayi menjadi terbantut disebabkan kuantiti oksigen dan nutrien yang sampai kepada bayi tidak mencukupi.
Air mentuban juga akan menjadi kurang. Sekiranya tumbesaran bayi menjadi sangat terbantut, bayi boleh mati secara mengejut di dalam kandungan.
Maka kehamilan dengan pra-eklampsia akan dipantau dari semasa ke semasa untuk mengesan bayi-bayi yang bakal mengalami komplikasi ini supaya tindakan segera dapat diambil untuk menyelamatkan bayi.

Mengapa Anda Perlu Tahu Mengenai Pra-eklampsia?
man-caring-for-pregnant-wife
Pra-eklampsia sangat biasa berlaku di kalangan wanita hamil.
Pra-eklampsia ringan berlaku bagi 7 daripada setiap 100 kehamilan manakala eklampsia (sawan hamil) pula jarang berlaku; hanya 1 dalam setiap 100 wanita dengan pra-eklampsia akan mengalaminya.
Hampir separuh kes eklampsia (44 peratus) berlaku selepas bersalin, dalam tempoh berpantang (postpartum).
1 dalam 200 kehamilan (0.5%) akan mengalami pra-eklampsia yang serius ketika hamil. Gejala-gejala pra-eklampsia lazimnya ditunjukkan pada penghujung kehamilan, tetapi ada juga yang menujukkan gejala-gejala selepas bersalin.
Gejala-gejala pra-eklampsia yang serius adalah :
  • Sakit kepala yang tidak dapat dilegakan oleh ubat tahan sakit
  • Mata menjadi kabur
  • Pedih pada ulu hati yang tidak dapat dilegakan oleh ubat-ubatan gastrik
  • Bengkak pada kaki dan muka yang makin bertambah
  • Berasa tidak sihat
Gejala-gejala ini adalah tanda-tanda amaran bahaya, dan memerlukan perhatian pihak hospital dengan kadar yang segera.
Dalam pra-eklampsia yang serius ini, organ-organ penting di dalam badan – fungsi hati dan buah pinggang mungkin akan terjejas, sekaligus menjejaskan proses pembekuan darah yang normal di dalam badan.
Pra-eklampsia serius ini jika tidak dirawat boleh menjadi lebih teruk ke tahap eklampsia dimana sawan boleh terjadi. Walaupun ianya jarang terjadi 1 dalam 4000 kehamilan, eklampsia memberikan komplikasi dan impak yang serius kepada ibu dan bayi, dan boleh membawa maut.

Adakah Isteri Anda Berisiko Mengalami Pra-eklampsia, Dan Bagaimana Mencegahnya?
article-l-2013927211461042370000
Isteri anda lebih cenderung untuk mendapat pra-eklampsia jika ini merupakan kehamilan sulung isteri anda atau jika terdapat jarak yang besar, selalunya 10 tahun, antara kehamilan ini dengan kehamilan yang terdahulu.
Isteri anda mempunyai risiko yang lebih jika anda:
  • berumur 40 tahun atau lebih;
  • berat badan berlebihan ketika hamil, BMI 35 atau lebih.
  • mempunyai masalah perubatan yang kronik yang menjejaskan sistem darah isteri anda, termasuk tekanan darah yang tinggi, lupus,masalah buah pinggang, atau diabetes;
  • kandungan kembar atau lebih;
  • mempunyai sejarah pra-eklampsia dalam keluarga, contohnya, terdapat emak atau kakak yang mengalaminya;
  • telah mengalaminya sebelum ini
Berbincang dengan doktor anda, tentang faktor-faktor yang isteri anda ada. Setelah penilaian doktor, isteri anda akan dinasihatkan memakan ubat aspirin 75mg sehari sekali dari pada awal kehamilan (12 minggu) sehingga bersalin untuk mengurangkan risiko isteri anda mengalami pra-eklampsia. Suplemen kalsium juga akan turut dimulakan.
Tiada cara yang pasti 100 % untuk mencegah terjadinya pra-eklampsia.
Tetapi, cara yang terbaik untuk memastikan yang anda atau bayi tidak dalam bahaya ialah dengan berjumpa doktor anda secara kerap untuk temujanji antenatal isteri anda.
Ujian air kencing dan bacaan tekanan darah dijalankan oleh doktor atau jururawat semasa anda dan isteri hadir untuk temujanji antenatal isteri anda, adalah untuk mengesan tanda-tanda awal pra-eklampsia.

Bagaimana Isteri Anda Dirawat, Sekiranya Isteri Anda Mengalami Pra-eklampsia?
140412395_wide
Jika tekanan darah naik secara sederhana, isteri anda akan dinasihatkan untuk mendapatkan seberapa banyak rehat yang boleh, dan caranya ialah dengan berbaring di sisi kiri anda sebab ini akan membantu aliran darah ke uri. Isteri anda mungkin diminta pergi ke klinik kesihatan setiap hari untuk memeriksa tekanan darah beliau.
Sekiranya tekanan darah isteri anda naik melambung, isteri anda akan diminta masuk ke hospital supaya keadaan boleh dipantau dengan rapi.
Kadar tumbesaran bayi akan diperiksa. CTG (cardiotocography) akan digunakan untuk memeriksa kadar denyutan jantung bayi dan kesihatannya secara umum. Tujuannya ialah untuk memanjangkan tempoh kehamilan isteri anda seberapa lama yang boleh, untuk memberi peluang kepada bayi supaya tidak dilahirkan secara pramatang. Ubat untuk mengawal tekanan darah juga turut akan diberikan.
Isteri anda juga akan diberikan suntikan ubat magnesium sulfat. Satu kajian penyelidikan yang besar yang diterbitkan pada tahun 2002 mendapati bahawa jika ibu yang mempunyai pra-eklampsia diberikan magnesium sulfat, risikonya mendapat eklampsia dikurangkan hingga separuh.
Isteri anda akan dirawat di wad rawatan rapi untuk ibu mengandung. Doktor juga akan menilai sama isteri anda perlu diberikan ubat untuk mematangkan peparu bayi, sekiranya perlu dilahirkan lebih awal.
Sekiranya tekanan darah isteri anda sukar dikawal dengan ubat-ubatan, akan dicadangkan supaya anda supaya menjalani proses induksi(induction of labour) atau melahirkan bayi anda melalui pembedahan caesarean. 

Apakah Yang Akan Berlaku Kepada Isteri Anda Dan Bayi Selepas Bersalin?
eklampsia
Pra-eklampsia hanya akan pulih dengan sendirinya setelah isteri anda melahirkan bayi. Tetapi, isteri anda masih lagi berisiko sehingga empat minggu selepas bersalin, terutamanya jika pra-eklampsia itu serius atau dikenalpasti apabila kehamilan sudah mencapai minggu ke-37 atau lebih. Isteri anda mungkin perlu meneruskan ubat untuk mengawal tekanan darah walaupun sudah bersalin.
Jika bayi dilahirkan kecil dan pramatang, bayi akan dipantau di unit rawatan rapi bayi sehingga bayi benar-benar sihat dan selamat untuk pulang. Tiada masalah untuk meneruskan penyusuan susu ibu.
Jika isteri anda mengalami pra-eklampsia yang serius, rawatan susulan akan diberikan untuk memeriksa tekanan darah dan air kencing semasa dalam tempoh berpantang.

Adakah Isteri Anda Akan Mengalami Pra-eklampsia Lagi Untuk Kehamilan Seterusnya?
mual-sebagai-tanda-hamil-termudah
1 daripada 6 wanita yang mengalami pra-eklampsia akan mendapatnya sekali lagi dalam kehamilan seterusnya.
Dalam kumpulan wanita yang mengalami pra-eklampsia yang serius atau eklampsia:,
  • 1 daripada 2 wanita akan mendapat pra-eklampsia dalam kehamilan seterusnya jika bayi anda dilahirkan sebelum 28 minggu kehamilan
  • 1 daripada 4 wanita akan mendapat pra-eklampsia dalam kehamilan seterusnya jika bayi anda dilahirkan sebelum 34 minggu kehamilan


Rujukan:
  • NICE guidance on The Management of Hypertensive Disorders during Pregnancy: nice.org.uk/cg107.
  • Pre-eclampsia : Information for you, by Royal College of Obstetricians & Gynaecologists United Kingdom. Published in August 2012 (next review in 2016)
The post Mengapa Tekanan Darah Darah Isteri Anda Tinggi Ketika Hamil? appeared first on LelakiSihat.Com - Tips & Info Kesihatan Lelaki.

About Admin

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close