Empat penumpang maut
JELI 25 Dis. - Empat maut manakala 26 lagi cedera selepas bas ekspres dinaiki mereka bergesel dengan sebuah treler di Kilometer 124 Lebuh Raya Jeli-Gerik, berhampiran Batu 14 dekat sini, pagi ini.
Nahas kira-kira pukul 1.30 pagi tersebut berlaku ketika bas ekspres terbabit yang membawa 30 penumpang dalam perjalanan dari Taiping, Perak menuju ke Kuala Terengganu.
Mangsa yang maut ialah Hasiah Osman, 57, dan anaknya, Muhammad Amir Abdul Rahim berasal dari Pulau Pinang serta Nor Afiqah Alimi Mohd. Ali, 19, dan Mohd. Shafiq Azrul Azmi, 25, dari Terengganu.
Keempat-empat mangsa dilaporkan tersepit di dalam bas dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Sementara itu, salah seorang penumpang yang cedera, Nur Syahidah Mohd. Noor, 24, dari Pahang pula dilaporkan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Jeli.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Yusoff Jaafar berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, bas ekspres dipandu Muhammad Hazil Hakimi Ahmad Zaki, 26, hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
Menurutnya, dalam masa yang sama, sebuah treler membawa muatan papan lapis yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bergeser dengan bahagian kanan bas berkenaan.
“Kemalangan mengakibatkan empat penumpang meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang lagi penumpang parah dan berada dalam keadaan kritikal.
“Pemandu bas terbabit tidak mengalami kecederaan. Kesemua penumpang yang cedera termasuk pemandu lori dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut. Mayat keempat-empat mangsa turut dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya.
Mohd. Yusoff dalam pada itu memberitahu, pemandu bas itu didapati positif pil kuda dalam ujian air kencing dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Juhari Ahmad memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.47 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama sembilan anggota.
Katanya, operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa nahas berkenaan mengambil masa selama hampir tiga jam.
Sumber: utusanonline
0 comments:
Post a Comment