PANAS

Didikan Keluarga Membawa Imam Malik Mencintai Agama

Image result for Didikan Keluarga


Pada tahun 95H/712M, lahir seorang bayi lelaki milik pasangan suami isteri di hujung kota Madinah.
Kelahirannya disambut dengan penuh kesyukuran oleh kedua-dua pasangan tersebut selepas dua tahun berada dalam kandungan. Ada pandangan mengatakan tiga tahun.
Ibu solehah yang melahirkan bayi ini bernama Aisyah binti Syarik al-Azdiyah, berasal dari Yaman.
Pendapat lain mengatakan namanya Siti Aliyah binti Syuraik bin Abdul Rahman bin Syuraik al-Azdiyah. Manakala bapa bayi tersebut pula bernama Anas bin Malik.
Pasangan tersebut menamakan anak ajaib itu dengan nama, Abdullah Malik bin Anas. Hari berganti hari, anak kecil ini membesar dengan hasil didikan yang menitikberatkan ilmu dan pendidikan.
Abdullah Malik bin Anas atau nama lengkap berserta nasab keturunannya, Abdullah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir bin Amr bin Haris bin Gaiman bin Khutsail bin Amr bin Harits al-Asbahi juga digelar sebagai Imam Malik.
Keluarga dan keturunan beliau kebanyakannya berasal dari Arab Yaman. Ibunya turut memilihkan guru-guru yang terbaik buat Malik dan memberi galakan kepadanya.
Di samping mengajarkan adab mempelajari ilmu, wanita solehah ini turut menjaga rapi perihal pakaian anaknya sebelum menghantarnya ke majlis ilmu.
Hal ini turut diakui oleh Ibnu Abi Uwais. Beliau mendengar Malik bin Anas berkata;
“Dahulu, sewaktu aku kecil, ibuku biasa memakaikanku pakaian yang terbaik dan merapikan imamah (serban/penutup kepala) untukku sebelum aku berangkat menuntut ilmu. Kemudian, ibu menghantarku kepada Rabi’ah bin Abi Abdirrahman dan berpesan, ‘Anakku, pergilah ke majlis Rabi’ah. Pelajari akhlak dan adabnya sebelum engkau mempelajari hadis dan fiqh darinya’.”
Malik bin Anas memiliki kecerdasan akal fikiran yang cukup tinggi sehingga mampu menghafal al-Quran dalam usia yang muda.
Beliau juga menghafal sebanyak 29 buah hadis daripada 30 hadis yang dibacakan oleh gurunya dalam masa sehari sahaja.
Bahkan, beliau turut dikenali dengan peribadi yang mulia, bersopan-santun, menjaga kebersihan, sentiasa berpakaian kemas dan berbau harum.
Tempat utama beliau dalam pencarian ilmu ialah di kota Madinah, yang juga merupakan pusat pengajian ilmu.
Prinsip beliau dalam menuntut ilmu ialah, ‘orang yang ingin menimba ilmu hendaklah berusaha mencarinya, bukan ilmu yang datang mencarinya’.
Malik bin Anas menuntut ilmu dengan ramai guru yang bertaraf ulama tabi’in ketika itu. Antaranya, Abdul Rahman bin Hamzah, iaitu seorang ulama besar Madinah yang mengajarnya selama 8 tahun.
Bahkan, seawal usia 17 tahun, beliau sudah mula mengajar orang ramai di Masjid Nabawi. Guru-gurunya yang lain pula ialah Nafi’; murid Abdullah bin ‘Umar, Abu az-Zanad Abdullah bin Zakwan, Hisyam bin ‘Urwah bin az-Zubair, Yahya bin Sa’id al-Ansari, Abdullah bin Dinar, Zaid bin Aslam, Abdullah bin Abi Bakr bin Hazm, Sa’id bin Abi Sa’id al-Maqburi dan ramai lagi.
Ada pendapat berkata, beliau mempelajari ilmu dengan hampir 900 orang guru dalam kalangan tabi’in dan tabi’ tabi’in.
Salah seorang gurunya, Ibnu Harmaz pernah berpesan;
“Seseorang yang berilmu harus mewarisi para muridnya dengan perkataan ‘aku tidak tahu’.” Bahkan, sekiranya beliau benar-benar tidak mengetahui sesuatu permasalahan, Malik bin Anas diingatkan untuk mengatakan, ‘aku tidak tahu’.
Malik bin Anas semakin dikenali melalui kitab penulisannya, iaitu al-Muwatta’ yang masih menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia.
Kitab ini merupakan kitab fiqh yang menghimpunkan hadis-hadis pilihan dan disusun berpandukan al-Quran, hadis dan fatwa para sahabat Rasulullah s.a.w.
Imam Syafie r.a pernah berkata;
“Tiada sebuah kitab di muka bumi ini yang lebih banyak mengandungi kebenaran selepas al-Quran, selain daripada kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik.”
Selain itu, beliau turut dikenali kerana menjadi pengasas bagi mazhab fiqh yang dikenali sebagai ‘Mazhab Maliki’, lalu dikenali dengan gelaran ‘Imam Malik’.
Mazhab tersebut berkembang di beberapa buah tempat antaranya Maghribi, Algeria, Libya, Iraq dan Palestin sehingga kini.
Imam Malik tergolong dalam kalangan tabi’ tabi’in iaitu generasi umat Islam yang tidak sempat untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w.
Beliau hanya sempat berjumpa dengan generasi tabi’in; iaitu mereka yang sempat berjumpa dengan sahabat Rasulullah s.a.w.
Menurut catatan mengenai kehidupannya, Imam Malik dikatakan mempunyai seorang isteri dan empat orang anak, iaitu tiga lelaki; Muhammad, Hammad, Yahya dan seorang perempuan, Fatimah.
Beliau turut dikurniakan umur yang panjang sehingga sempat hidup di bawah pemerintahan sembilan orang Khalifah bani Umaiyah dan lima orang Khalifah bani Abbasiyah, bermula dengan Khalifah al-Walid bin Abdul Malik pada tahun 95H, hingga pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid tahun 179H.
Sikap dan peribadi Imam Malik amat disenangi. Bahkan, beliau sangat menyantuni dan mencontohi adab serta sunnah Baginda Nabi s.a.w.
Hal ini bertepatan dengan apa yang diungkapkan oleh Abi Salamah al-Khuzzai r.h;
“Imam Malik jika ingin pergi mengajar Hadis, beliau akan berwuduk seperti wuduknya orang yang ingin melaksanakan solat, memakai pakaian yang paling baik, menyisir janggutnya dan ketika ditanyakan kepadanya tentang hal tersebut, beliau berkata, ‘Aku memuliakan hadis Nabi s.a.w.’”
Tanggal 10 Rabiulawwal tahun 179H, Imam Malik menghembuskan nafas terakhirnya, ketika berumur 84 tahun dan jasadnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi’.
“Sebaik-baik perkara adalah yang jelas dan nyata. Sekiranya kamu syak antara dua perkara, ambillah yang mana lebih meyakinkan.”Kata Mutiara Imam Malik bin Anas
Sumber : tazkirah.net


via Bin Usrah

Sumber : Gengviral

About Admin

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close