Pada mulanya, suami tidak mempedulikan itu semua. Lama kelamaan, suami sudah termakan pula hasutan mereka.
"Malu saya masa raya nak balik ke kampung. Orang asyik bertanya tentang anak sahaja. Awak ni bilalah agaknya nak mengandung? Susah sangat, kalau sebelum raya tahun depan awak masih tak mengandung juga, tak payahlah awak ikut saya balik ke kampung. Awak balik ke kampung awak, saya balik ke kampung saya. Kita cerai saja," kata suami.
Alangkah sedihnya hati saya bila mendengar dia berkata begitu.
Adik ipar pula banyak kali mempersendakan saya dengan melemparkan kata-kata yang tidak sepatutnya.
"Aku rasa nak cepatkan tarikh kahwinlah." katanya.
"Kenapa?" soal saya.
"Sebab mak nak cucu. Aku nak cepat bagi mak cucu," sindirnya tak bertapis lagi membuatkan hati saya terasa sedih.
Saya pernah cuba mahu mendapatkan rawatan. Tetapi bila saya pergi ke klinik atau hospital, doktor suruh saya datang bersama suami. Doktor tidak akan meneruskan rawatan jika saya datang seorang diri atau suami datang seorang. Doktor mahu kedua-duanya hadir agar mereka boleh mengenalpasti siapa yang tidak subur.
Tetapi bila saya beritahu suami, dia marah saya.
"Apa pasal pula saya yang kena buat rawatan bagai ni? Keturunan saya belum ada lagi yang mandul. Awak pergilah check seorang diri. Awak yang bermasalah, bukannya saya," bentaknya.
Saya sangat-sangat tertekan dan terdesak. Tak tahu di mana lagi saya perlu meminta bantuan yang mana membolehkan saya mendapatkan rawatan tanpa memerlukan suami hadir bersama. Saya tak banyak masa, sebelum raya tahun hadapan saya perlu mengandung. - Kisah Rumah Tangga | The Reporter
Sumber : Citeheboh
0 comments:
Post a Comment