Terkini

Perancis kempunan di gelanggang sendiri

[TERKINI] PERANCIS KEMPUNAN DI GELANGGANG SENDIRI.
Berpeluang menjadi juara kali ketiga pada final ketiga mereka, Perancis terlepas peluang sebentar tadi apabila diatasi Portugal 1-0 dalam perlawanan berlanjutan sehingga dua jam.
Secara teknikal, Portugal bermain - dan menang - tanpa susuk permain terbaik mereka, Cristiano Ronaldo selama kira-kira 95 minit.
Diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan Ronaldo diusung keluar padang seawal minit ke-24 kerana kecederaan.



Tanpa bintang Real Madrid itu Perancis gagal menggunakan ruang dan peluang untuk mencatatkan gol. Malah pasukan tuan rumah dilihat agak berhati-hati untuk melancarkan serangan penyudah.
Kemenangan Portugal pagi ini menjadi pengubat kekecewaan mereka yang layak ke perlawanan akhir untuk kali pertama pada 2004.
Ketika itu mereka terpaksa akur dengan kelicikan pasukan Greece yang mengalahkan mereka 1-0.



Perancis pula hampir mencatat kejayaan 100 peratus di perlawanan akhir sehinggalah gol Eder itu meranapkan harapan mereka sedikit demi sedikit sehingga wisel penamat ditiup pengadil dari England, Mark Clattenburg.
Perancis bermain di perlawanan akhir Euro pada 1984 dan 2000. Mereka memenangi perlawanan itu, masing-masing dengan mengalahkan Sepanyol dan Itali.
Skuad tak pernah menang
Untuk berlaku adil Perancis tidaklah terlalu longlai, malah ada beberapa percubaan berbahaya dilakukan pemain bimbingan Didier Deschamps.
Pujian layak diberi kepada penjaga gol Portugal, Rui Patricio yang tangkap menafikan cubaan Perancis. Misalnya cubaan mencemaskan daripada Antoine Griezmann.
Pada masa sama tuah juga tidak menyebelahi pasukan tuan rumah.
Ketika jentera serangan buntu mencari gol Deschamps mengeluarkan pemain yang sepatutnya menyumbang gol, seperti Dimitri Payet dan Olivier Giroud.
Untuk rekod prestasi Portugal tidaklah begitu menjanjikan pada peringkat awal.
Skuad bimbingan Fernando Santos itu gagal mencatat sebarang kemenangan di peringkat kumpulan dan nyaris tercicir daripada saingan 16 pasukan terbaik.
Secara bandingan laluan mereka ke perlawanan akhir juga agak selesa berbanding Perancis yang terpaksa berdepan dengan Ireland, Iceland dan Jerman.
Portugal layak ke perlawanan akhir selepas mengetepikan Croatia, Poland dan Wales.
Kemenangan Portugal juga menafikan peluang Perancis untuk berada dalam kelompok elit juara Eropah bersama Jerman dan Sepanyol yang pernah menjulang piala itu sebanyak tiga kali setakat ini.

About Admin

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close