Terkini

"SURIRUMAH SAJA PUN, JAGA ANAK SEORANG DAH MENGELUH PENAT BAGAI...."


Saya seorang ibu kepada 2 anak, suri rumah sepenuh masa. Dulu, saya bekerja ketika anak baru seorang. Saya ada berjumpa dengan kawan-kawan yang lain, ada yang sedang mengandung dan ada yang beranak seorang juga. Mereka tidak bekerja (suri rumah), kami berbual tentang kandungan dan anak-anak.

Dalam perbualan kami, ada seorang kawan yang menyatakan bahawa dia agak penat melayan anak kecilnya dan dalam masa yang sama melakukan tugas di rumah.

"Hai, awak suri rumah saja pun, layan anak seorang, itu pun mengeluh penat? Habis aku ni lagilah penat. Dengan mana kerja lagi, balik rumah kena layan anak pula," sampuk saya.

Kata-kata saya itu menyebabkan dia berdiam diri. Ya, dalam hati saya pada masa itu berkata,

"Eleh, suri rumah saja pun. Buat teruk lebih dia ni,"

Setahun berlalu, saya mengandung anak kedua. Semasa mengandung lagi suami telah berpesah agar berhenti kerja dan jaga anak di rumah sahaja. Saya terpaksa akur, saya berhenti kerja selepas bersalin dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

Selesai berpantang di kampung, saya kembali ke rumah dan menjalankan rutin seorang suri rumah. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, Ya Allah, hanya Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasakan. Rupanya bukan senang menjadi suri rumah.

Dengan anak kecil yang asyik merengek, yang kakak suka terjerit-jerit. Kerja rumah tak terkejar jadinya. Dengan mana nak sidai baju, baru nak mandi si kecil sudah menangis (baby 3 bulan). Layan si si kecil sampai tak sempat nak mandi. Baru nak memasak, kakak dah datang selerakkan dapur. Dengan si kecil yang tidur tadinya terus terjaga dan menangis. Rasa stress sangat! Penat!

Bila malam, baru saya sempat sidai baju, mandi puas-puas sebab suami pulang dari kerja boleh tolong jagakan mereka buat seketika. Masa itu saya teringat kata-kata saya pada kawan saya dulu.

Dulu bila saya bekerja, anak dihantar pada pengasuh, jadi sempatlah nak mandi, makan dengan tenang di tempat kerja. Bila balik, mandi dulu baru ambil anak. Baju, hujung minggu baru basuh. Jadi anak, suami yang jaga.

Bila nak bandingkan, jadi suri rumah lagi penat. Allah, sabar sajalah. Saya bercerita sikit sebab mahu mengingatkan kepada para wanita yang bekerja usahlah memandang rendah pada suri rumah. Mereka lagi susah, dengan duit yang cukup pakai, tak boleh bermewah seperti ibu yang bekerja.

Saya sudah minta maaf pada kawan saya itu. Saya harap, jagalah hati ibu-ibu lain yang juga suri rumah sepenuh masa ini ye. -

About Admin

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close