Rasanya ramai sudah mengetahui kontorversi yang melanda kumpulan rock lagenda Search. Pertelingkahan antara pemain drum kumpulan berkenaan, Yazit dengan empat lagi anggota kumpulan Search termasuk vokalisnya, Amy, nyata membuatkan ramai menzahirkan rasa terkejut lantaran ia tidak lagi dilihat sebagai satu perbalahan yang bersifat peribadi.
Kontroversi tercetus apabila Yazit membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju pada 4 Mei lalu mendakwa isu pecah amanah dan tidak menerima bayaran sempena penganjuran Konsert 35 Tahun Search. Yazit turut mendakwa beliau ditengking oleh isteri Amy apabila bertanyakan soal bayaran.
Tidak mahu berdiam diri, Amy tampil menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku sehingga Yazit mengeluarkan dakwaan terhadapnya dan ahli kumpulan yang lain. Kata Amy:
Pertamanya saya nak tekankan, pertuduhan Yazit itu tidak betul. Kami semua, sejak Yazit kurang sihat, memang setiap konsert, kami semua akan buat kerja, dan sebelum itu kami akan berikan dia duit dan sampai konsert selesai, sama ada dia main atau tidak, dia tetap akan mendapat duit hasil daripada persembahan konsert kami. Memang kami yang tandatangan untuk kami berempat saja yang akan buat persembahan kerana dia dalam keadaan sakit itu belum tentu lagi dapat beraksi sama atau tidak.
Ditanya adakah adakah Amy dan rakan-rakan telah memberikan duit bayaran kepada Yazit untuk Konsert Search 35 Tahun, Amy menjawab:
Tidak mungkin dia tidak dapat duit itu kerana duit yang kami terima tempoh hari adalah cuma 30 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhannya. Itu pun jumlah tersebut kami gunakan untuk bekerja, untuk adakan sidang media, bergerak ke lokasi lakukan promosi termasuklah untuk latihan konsert. Jadi saya amat dukacita kerana selepas 35 tahun, persahabatan ini jadi begini. Hari ini seorang kawan nak sumbat kami dalam penjara dan menuduh kami mengambil duit dan menidakkan hak dia. Saya dan rakan-rakan memang amat terperanjat kerana sebelum itu memang saya ada terangkan mengenai hal bayaran. Dia juga ada menghubungi Nasir dan ketika itu dia bercakap dengan nada yang sangat kasar sehingga Nasir terpaksa menamatkan panggilan telefon sebelum menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp, memberitahu agar Yazit bercakap dengan cara baik.
Menjawab tuduhan Yazit mengenai isu ditengking oleh Norish, isteri Amy. Amy berkata:
Selepas Nasir, dia kemudiannya menghubungi Norish, malah sebelum itu lagi dia ada menghubungi isteri saya. Sebagai seorang suami, saya bertanggungjawab untuk mengambil serius perkara yang diberitahu oleh isteri kerana, sebagai seorang isteri, Norish bengang apabila rakan baik suaminya menuduh saya dan rakan-rakan pecah amanah dan penipu, Dia rasa marah kerana tuduhan itu tidak betul. Dalam projek konsert ini, kami bertiga iaitu saya, Nasir dan Norish yang bertungkus lumus untuk menjayakannya kerana ini bisnes untuk Search. Tiba-tiba Yazit mengamuk tak tentu pasal dan tuduh begitu. Bagi saya adalah tidak profesional dia menghubungi penganjur (AfJets Sdn.Bhd.) bertanya itu ini dan tidak profesional juga buat Afjets kerana tidak memaklumkan apa yang berlaku kepada kami. Kalau mereka beritahu kami secara profesional, tentulah perkara ini dapat diselesaikan dengan cara baik.
Bertanya bagaimana reaksi Amy dan ahli kumpulan lain mengenai dakwaan Yazit itu, Amy berkata:
Sejak laporan polis itu dibuat, saya amat kecewa kerana dari dulu sehinggalah dia sakit, kami tak pernah makan duit dia satu sen pun, Antara kami berempat, saya dan Nasirlah yang paling sedikit menerima duit kerana kita dah tolak bab makan, minum, duit minyak dan sebagainya ketika bekerja. Kami bekerja yang terbaik untuk band ini. Sebelum ini, banyak juga yang dia kata mengenai tak bayar duit, itu semua salah. Saya bagi contoh sewaktu kami beraksi di Istana Budaya sebelum ini. Saya nyanyi sebanyak 20 hingga ke 25 buah lagu untuk empat malam. Semua sekali 80 buah lagu. Yazit cuma main empat lagu saja. Ceritanya, dia main empat, tiga atau dua lagi atau tak main sekali pun, dia tetap akan menerima bayaran. Jadi apa perlu dia risau? Di akhir konsert, daripada jumlah keseluruhan, 80 peratus kami ambil manakala 20 peratus lagi kami bayar kepada pemain jemputan, selebihnya dibayar kepada dia. Untuk persembahan empat malam, dia dapat RM49,000. Itu pun dia cakap, kami semua zalim kerana bayar kepada pemain jemputan. Walhal, beza yang dia dapat tak banyak pun. Dalam keadaan itu, dia sepatutnya berterima kasih dan bersyukur kerana kawan-kawan masih sihat, dapat bekerja dan bantu kongsi rezeki dengannya. Tapi dia caci kami pula. Saya sangat kecewa apalagi beberapa tahun kebelakangan ini, dia di depan media sering memburukkan dan menuduh kami. Kalau mahu cari simpati sekali pun, janganlah buat begini. Lebih-lebih lagi saya sebagai vokalis, segalanya datang kepada saya dulu.
Amy turut berkata dia mengambil langkah berdiam diri kerana menganggap Yazit mungkin tak sihat. Kata Amy lagi:
Walau dikatakan apa sahaja sebelum ini, kami semua mengambil langkah untuk berdiam diri sahaja kerana menganggap dia mungkin tak sihat. Kami dituduh macam-macam sedangkan kami tak buat salah apa pun. Kami bagi duit dia. Sampai satu tahap, kami bincang balik dan merasakan hal ini perlu dihentikan. Dia kerap lukakan hati kami dan peminat-peminat kami. Setiap kali kami adakan konsert, Yazit akan sentiasa berikan kami masalah. Kami diamkan sahaja walau dia caci.
Ditanya apa harapan Amy dalam isu ini, Amy menjawab:
Bagi kami, konsert tetap akan diteruskan, dia perlu fikir dengan sebaik mungkin apa yang dilakukan olehnya dan pihak kami cuma minta agar dia tarik semula laporan polis tempoh hari dalam masa 48 jam (bermula Rabu lalu). Itu sahaja. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Yazit atau mana-mana pihak yang terus menabur fitnah terhadap Search.
Sumber: Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment