Berita

#Pecahusus sebab beli smartphone atau …?

Isu siswa-siswi tak cukup duit bukan isu baharu, kita semua pernah melaluinya.
no-monies
Susah benar nak faham remaja sekarang, terutama pelajar pengajian tinggi. Membaca berita siswa pecah usus lantaran tidak cukup duit untuk makan, membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana mereka ini mengawal kewangan masing-masing?
Adik-adik semua lebih berfesyen dari kami, punyai telefon bimbit yang jauh lebih canggih dan mahal dari kami, telefon terhubung ke Internet sepanjang masa, adik-adik juga ada motorsikal, MacBook sendiri, aksesori cantik-cantik, beg galas dan kasut sneakers berjenama, set solekan tersendiri, cuma adik-adik takde duit beli makanan, yakni terpaksa berlapar sampai pecah usus…
Saya pernah harungi apa yang anda lalui sekarang. Ada hari-hari yang tak cukup duit, perut diisi sekadar dengan wholemeal bread atau biskut cream crackers.
Waktu itu, tahun 2001, beli telefon bimbit RM350 dengan kad sim RM220, sampai sekarang guna nombor yang sama. Top up sekali sebulan, atau sehari sebelum tarikh luput. Untuk panggilan pula, kami menggunakan taktik tersendiri iaitu bercakap untuk 3 saat pertama kerana tiada caj dikenakan untuk tempoh itu.
Jika mahu bergayut, kawtim (berpakat) dengan kawan-kawan yang tahu dimana letaknya pondok telefon ‘free’. Kami sanggup berjalan beberapa kilometer ke desa (baca: asrama) semata-mata untuk menggunakan telefon itu.
Kalau ada kawan yang pulang dari kampung, mereka akan tolong tapau dari rumah. Saya pula bawa makanan seperti kek, biskut, nasi pulisoru (sejenis makanan India yang boleh disimpan tanpa peti sejuk selama seminggu) sebagai bekalan.
Kami tak beli buku yang mahalnya beratus ringgit, biasanya itu pun kawtin dengan senior ataupun di buat salinan (walaupun tidak digalak), kerana terpaksa, terpaksa berjimat.
Mujur, waktu itu tiada laman sosial seaktif sekarang, jadi Internet bukan keutamaan. Kami ke kafe Internet untuk buat assigment. Bila dah masuk tahun kedua, semua pakat guna duit PTPTN, tiga orang beli satu komputer.
Kami sanggup naik turun bas mini jauh dari kampus kerana caj cetak sekitar kampus mahal. Nasib, ada ‘usahawan’ kecil dalam kampus yang miliki mesin cetak, tolong print secara murah. Tak pun, kami guna kemudahan di lab journalism, bolehlah cetak beberapa keping secara free.
Hujung minggu, bila takde kelas, saya dan rakan-rakan akan tunggu panggilan kerja sambilan daripada sebuah syarikat event management. Dapatlah upah RM50, kerja pagi sampai petang. Jaga booth permainan biasanya melibatkan sambutan Hari Keluarga syarikat korporat. Sambil berhibur dengan gelagat orang, sambil cari pengalaman, sambil itu bekerja.
Duit itu, amat bermakna bagi kami. Cuti semester, wajib balik sebab tak mau duduk asrama untuk elakkan berbelanja.
Setiap tahun mesti aktif dalam aktiviti asrama supaya dapat terus diberi peluang tinggal di sana. Di luar, sewa rumah sangat tinggi, tiga empat kali ganda tingginya. Selaku anak seorang buruh kilang dengan pendapatan isi rumah kurang RM2,000, saya tak mampu!
Saya pernah tak cukup makan, tapi tak pernah kebuluran. Dalam kesempitan itu saya berdoa kepada Tuhan supaya mencukupkan keperluan saya.
Saya tak pernah hadapi masalah gastrik melampau atau sampai pecah usus, sebab mak berpesan;
“Kita keluarga susah. Mak dan ayah tak berpelajaran. Kamu anak sulung, satu-satunya harapan keluarga. Kamu kena sihat, kamu kena maju, baru kami boleh berehat dengan aman. Jangan warisi kesusahan kami. Sebab itu saya tak tinggalkan kamu harta tetapi makan minum, pakaian, dan paling penting pendidikan yang mencukupi, semampu kami.”
Ayah kata, kalau nak belajar tinggi lagi, boleh. Ayah sanggup jual rumah. Asalnya anaknya sihat dan belajar.
Kalau hidup di kampus tidak ber’MacBook, tidak ber’Starbucks, tidak ber’Iphone 6S, sambut hari jadi dengan kek Secret Recipe, saya rasa anda mungkin tak #pecahusus!

About Admin

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close