Berita

100 ‘ayahanda’ guna Datuk, Datuk Seri tidak diiktiraf

Gelaran itu bertentangan dengan undang-undang dan secara tidak langsung mencemar atau menghina institusi Raja-raja Melayu
Syed-Hussain-Al-Shahab-,datuk
KUALA LUMPUR : Kira-kira 100 pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara yang bertaraf ‘ayahanda’ memakai gelaran Datuk dan Datuk Seri yang tidak sah.
Pengerusi Eksekutif Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS), Syed Hussain Al-Shahab yang mendedahkan perkara itu berkata, penggunaan gelaran itu jelas bertentangan dengan undang-undang negara secara tidak langsung mencemar atau menghina institusi raja-raja di Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menggesa ahli YAS bertaraf ayahanda berhenti menggunakan gelaran Datuk atau Datuk Seri yang tidak diiktiraf.
Katanya, mereka juga perlu membuat pengisytiharan atau pengakuan secara umum bahawa tidak akan menggunapakai gelaran berkenaan berkuatkuasa serta merta.
“Sebagai ayahanda yang memimpin NGO selama ini telah melaungkan perjuangan mempertahankan institusi raja-raja Melayu, kedaulatan negara, kesetiaan kepada raja-raja, pemimpin serta pemerintah Melayu tetapi telah berlaku kesilapan di mana pemimpin NGO ini telah melanggari laungan perjuangan mereka.
“Ayahanda pemimpin NGO, AJK , ahli-ahli ini tidak seharusnya membeli, menerima atau mengguna pakai gelaran-gelaran tersebut,” katanya pada sidang media di ibu negara di sini, hari ini.
Syed Hussain berkata, sebagai pemimpin NGO bertaraf ayahanda, mereka perlu selari dengan laungan perjuangan atau menjadi contoh kepada masyarakat.
“Bukan dengan cara mengejar segala pangkat dan darjat yang merugikan..akhirnya masyarakat memandang serong dengan gelaran, pangkat, darjat yang tidak diiktiraf,” katanya.
Jelasnya, sejak dari awal lagi kerajaan telah mengistiharkan bahawa semua gelaran Datuk atau Datuk Seri dari luar negara adalah tidak diiktiraf di Malaysia dan tidak boleh diguna pakai dalam sebarang majlis rasmi.
Sebelum ini, media melaporkan tiada undang-undang khusus bagi mengawal perbuatan individu tertentu menganugerahkan darjah dan pingat sesuka hati dengan menggunakan pelbagai gelaran.
Menurut akhbar itu, ia memungkinkan jumlah mereka yang bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ tidak diiktiraf oleh kerajaan mencecah ribuan orang.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan akan meminda Akta Lambang dan Nama 1963 (Akta 414) bagi mengekang penyalahgunaan pingat serta darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk serta Datuk Seri oleh individu yang tidak diiktiraf kerajaan.

About Admin

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close